Rabu, 6 November 2013

Calon SPM Meninggal Dunia Selepas 30 Minit Jawab Soalan

SEBAHAGIAN daripada 198 pelajar memasuki dewan yang menempatkan seorang pelajar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nur Syazwani Ariffin, 17, (gambar kecil) yang meninggal dunia ketika sedang menduduki peperiksaan Kertas 1 Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Agama Saniah, Pasir Puteh, hari ini. 
KOTA BAHRU: Seorang calon yang menduduki hari pertama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Agama (SMA) Saniah, Pasir Puteh, dekat sini dilaporkan rebah dan meninggal dunia selepas kira-kira 30 minit menjawab soalan, pagi ini.

Pelajar terbabit dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Anis (HTA) di sini.
Pelajar perempuan berkenaan, NurSyazwani Arifin, 17, dikatakan sedang menjawab kertas Bahasa Melayu 1 apabila tiba-tiba rebah dan pengsan di atas lantai dewan pemeriksaan sekolah itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, pihaknya kini menunggu keputusan bedah siasat unit forensik Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengetahui punca kematiannya kerana Nursyazwani dikatakan tidak mempunyai rekod penyakit kronik.

Bapanya Arifin Deraman, 48, seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Janggut membawa Nursyazwani ke hospital selepas diberitahu mengenai insiden itu kira-kira 8.45 pagi, katanya kepada pemberita ketika ditemui di hospital berkenaan hari ini.

Sementara itu, Arifin ketika ditemui berkata Nursyazwani pernah mengalami pening kepala, sakit belakang dan dada selama seminggu sebelum ini.

"Ketika itu doktor hanya mengesahkan Allahyarham mengalami gastrik tetapi dalam sehari dua ini beliau didapati sihat seperti biasa.
"Pagi tadi, sebelum peperiksaan beliau ceria dan sempat mencium tangan saya," katanya.

Beliau berkata Nursyazwani anak keempat daripada enam beradik adalah antara pelajar terbaik sekolah itu dan menyasarkan keputusan 10A.

"Arwah bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah," katanya yang berasal dari Kampung Kemudu Bongkok, Gaal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Zawawi Othman antara yang menziarahi jenazah Allahyarham di hospital. - BERNAMA

Sumber Dari Berita Harian 06/11/2013

0 comments:

Catat Ulasan