Selasa, 22 Oktober 2013

Noreen Noor Meninggal Dunia


KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi terkenal era 80-an, Noreen Noor, 54, meninggal dunia di Hospital Pakar Ampang Puteri, di sini, akibat komplikasi buah pinggang dan jantung, kira=kira 5.50 pagi tadi.

Jenazah Noreen atau nama sebenarnya Noraini Mohamad Noor dibawa pulang ke kampungnya di Kampung Pulai, Serkam Pantai, Melaka kira-kira jam 9 pagi tadi dan dijangka dikebumikan selepas solat Zohor, hari ini.

Rakan rapat arwah yang dikenali sebagai Sheba berkata, Noreen mengadu sakit dada dan kebas tangan di rumahnya petang semalam sebelum memandu sendiri ke hospital berkenaan ditemani seorang anak angkatnya yang berusia 11 tahun.

Difahamkan, sebaik tiba di hospital kira-kira jam 3 petang semalam, Noreen terus dimasukkan ke wad.

“Saya terima panggilan daripada anak lelakinya kira-kira jam 12 malam tadi memaklumkan ibunya dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya.

Katanya, Noreen pernah memberitahunya dia ada mengalami masalah jantung, tetapi tidak tahu arwah turut menghidap sakit buah pinggang.

Noreen pernah popular dengan lagu Siang Terbayang, Malam Merindu selain pernah berlakon beberapa filem antaranya Hantu Siang, Balik Kampung, Wira Angkasa dan Pelumba Malam.

Beliau pernah berkahwin dengan Tengku Kamaruzzaman Ibni Sultan Abu Bakar, Baharuddin Ngah dan Datuk Mokhtar Ahmad.

Turut mengiringi jenazah ialah anak lelakinya yang berusia 22 tahun dan bekas suaminya, Baharuddin.

Sumber Dari Metro 22/10/2013

Isnin, 14 Oktober 2013

SIDANG AKHBAR BOWLING GATHERING CHARITY.


14 Oktober 2013 - Kami telah mengadakan sesi temuramah bersama wartawan pada 12 Oktober 2013. Ianya telah di adakan Bandar Mahkota Cheras. Temuramah ini adalah bertujuan untuk mewar-warkan tentang pertandingan bowling yang akan di adakan pada 02 November 2013.

Kami menjemput anda semua untuk memeriahkan suasana dan juga mengundang anda untuk menjadi salah seorang daripada pemain. Yuran pembayaran adalah sebanyak RM 50.00 untuk seorang ( untuk tiga pusingan permainan). Dimana pemenang akan di berikan hadiah.

Kami juga ada menjemput para artis untuk bersama kami , bagi memeriahkan lagi pertandingan tersebut. Untuk mengetahui siapakah artis tersebut pastikan anda hadirkan diri di sana........




Dancing With The Stars


14 Oktober 2013 - Kami menjadi penaja sebagai  Radio Rasmi untuk Dancing With The Stars, yang akan di adakan di Auditorium Help Kolej pada 26 Oktober 2013 .Waktu 8.00 malam sehingga 10.00 malam. Beralamat 1, Jalan Metro Pudu2, Fraser Business Park 55200, Kuala Lumpur. Harga tiket bermula dari RM 80.00 sehingga RM 120.00.

Disamping itu mereka juga mengadakan bengkel tarian pada 25 Oktober 2013 sehingga 27 Oktober 2013. Sila hubungi talian 012-5555 809 untuk keterangan lebih lanjut.

Anda semua di jemput hadir.......

SEPETANG BERSAMA ARTIS EMPIRE ROCK KAPAK & YAZID (SEARCH)


14 Oktober 2013 -  Kami akan berada di Kuala Lipis untuk menyertai Karnival Kuala Lipis, di mana kami akan membuka satu gerai serta mengadakan sesi klinik "Drumming" bersama Abang Yazid(Search). Sesi tersebut akan di adakan pada 23 Oktober 2013.

Klinik ini akan di kenakan bayaran sebanyak RM 50.00 seorang, ianya bertujuan untuk mengutip dana bagi Tabung Kebajikan Artis ( Zaman Rock Kapak 80 an & 90an) yang memerlukan bantuan dari segi pembayaran bil hospital, pembelian alatan perubatan dan juga untuk kelansungan perjuangan kehidupan.

Kami menjemput anda semua untuk berada di sana ( Dataran Kuala Lipis) bersama kami untuk memeriahkan suasana serta meryertai klinik Abang Yazid. Sesi ini hanya akan di jalankan pada hari tersebut ( 23 Oktober 2013) , waktu sesi adalah dari pukul 12.00 tengahari sehingga pukul 6.00 petang.

Jumpa anda di sana.......

Sabtu, 5 Oktober 2013

KL Gangster 2 Dapat Sokongan 10 Penerbit


Simpati nasib filem aksi, KL Gangster 2, yang menjadi mangsa cetak rompak terburuk industri perfileman tanah air, 10 syarikat produksi tempatan bergabung meringankan beban ditanggung syarikat penerbitannya, Skop Production Sdn Bhd (SPSB) dan Primeworks Studios Sdn Bhd (PSSB).

Filem arahan Syamsul Yusof yang mula ditayangkan kepada umum sejak semalam mendapat sokongan syarikat produksi terbabit dalam bentuk pembelian tiket sebanyak 5,000 keping.
Menurut penerbit, Datuk Yusof Haslam, sokongan hasil nilai persahabatan yang baik itu diberikan demi melihat industri filem tanah air berkembang maju. “Alhamdulillah, inilah nilai persahabatan ditunjukkan syarikat produksi tempatan, yang simpati dengan nasib filem saya selepas menjadi mangsa kerakusan pihak tidak bertanggungjawab.

Sepuluh penerbit bersetuju membeli 500 tiket setiap syarikat dalam usaha meringankan beban kos besar yang saya tanggung” Yusof Haslam, Penerbit

“Inilah juga perkhabaran gembira apabila 10 penerbit bersetuju membeli 500 tiket setiap syarikat dalam usaha meringankan beban kos besar yang saya tanggung dalam pembikinan filem ini.

“Bukan nilai yang kita utamakan, tetapi saya sangat berbesar hati dan terharu melihat semangat yang mereka tunjukkan bagi membantu mengembangkan lagi industri filem negara.

“Industri perfileman turut memperakui, filem yang menelan kos RM4.5 juta ini berpotensi besar dalam menyumbang kutipan tertinggi, sekali gus mengangkat martabat filem Melayu. Namun, selepas menjadi mangsa cetak rompak, kedudukan itu agak terganggu. Begitupun, saya tetap pasrah dan reda dengan rezeki yang ditentukan buat saya. Paling penting, saya tidak akan putus asa untuk terus menerbitkan filem bermutu tinggi selepas ini,” katanya yang ditemui selepas majlis dialog antara Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), semalam.
Bagi memberikan pengiktirafan kepada 10 syarikat berkenaan, Skop akan mengadakan sidang media pada 8 Oktober ini bertempat di FINAS, jam 3 petang.

Sudah pungut RM700,000

Sementara itu, Yusof turut mengumumkan, KL Gangster 2 berjaya memungut RM700,000 menerusi tayangan larut malam selama empat hari, bermula 27 hingga 29 September dan 2 Oktober lalu.

“Jumlah terbabit menggambarkan potensi yang baik untuk filem ini pergi lebih jauh. Daripada tinjauan kami di beberapa pawagam, kebanyakan penonton yang hadir sudah menontonnya menerusi VCD cetak rompak, namun mereka tidak puas dengan kualiti produk haram itu.

“Mereka lebih berkeyakinan untuk menonton sendiri di pawagam apabila banyak kesan khas dengan kualiti warna lebih terang dapat dinikmati di layar lebar,” katanya.

Sember : Berita Harian 04/10/2013

Beego Debar Menanti Anak Sulung


TIDAK pernah merancang sama ada memperoleh cahaya mata dalam tempoh yang cepat atau lambat, rezeki telah memihak kepada pasangan romantik, pelakon Beego dan Linda Hashim.

Setelah berumah tangga pada bulan Jun lalu, akhirnya pelakon yang baru sahaja tampil dalam filem Tanda Putera itu disahkan mengandung tujuh minggu.

Yang nyata, jelas terpancar riak wajah gembira kedua-dua pelakon berkenaan sewaktu ditemui dalam sebuah majlis baru-baru ini terutama sekali Beego memandangkan ini merupakan perkahwinan kali kedua buat dirinya.

"Apabila doktor mengesahkan yang Linda hamil, sudah tentu saya merupakan individu yang paling gembira kerana bakal bergelar bapa.

"Ia merupakan perkara yang tidak dijangka sama sekali, meskipun kami tidak pernah merancang dan berserah kepada Allah untuk mendapatkan cahaya mata," ujar pemilik nama sebenar Md. Aszerul Nizam Abdullah itu.

Meneruskan perbualan mengenai detik-detik awal sebelum mengetahui isteri tersayang hamil, Beego memberitahu, dia selalu berasa kurang sihat dan tidak sedap badan.

Beranggapan bahawa keadaan yang dilaluinya itu sebagai perkara biasa akibat keletihan kerana sibuk dengan aktiviti lakonan, dia mengambil keputusan untuk berehat sahaja tanpa memikirkan bahawa ia merupakan tanda awal yang dia bakal bergelar seorang bapa.

"Beberapa hari sebelum isteri membuat pemeriksaan di hospital, saya lihat keadaan isteri pula yang selalu letih. Selain itu, dia juga sudah mula menunjukkan simptom seperti wanita mengandung.

"Setelah pemeriksaan dijalankan, Linda didapati hamil oleh doktor dan akibat terlalu gembira saya terus melompat kerana teruja dengan berita gembira yang disampaikan kepada kami," ujarnya.

Menceritakan lebih lanjut tentang kehidupannya setelah isterinya hamil, pelakon itu menyatakan, dia agak bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang alahan seperti kebanyakan lelaki lain.

"Pada peringkat awal kehamilan pastinya merupakan cabaran yang paling besar buat pasangan suami isteri.

Bagaimanapun, saya akan lakukan yang terbaik untuk isteri agar kandungannya berada dalam keadaan sihat.

"Meskipun usia kehamilan isteri saya masih lagi di peringkat awal, namun perasaan berdebar itu tetap ada menantikan kehadiran cahaya mata sulung ini. Ia merupakan satu anugerah yang tidak terhingga dan merupakan pelengkap kepada kehidupan kami," luahnya.

Mengalah

Biarpun pernah mendirikan rumah tangga sebelum ini tetapi ia merupakan pengalaman baharu buat Beego untuk menjalani kehidupan sebagai seorang suami yang bakal bergelar bapa.

Beego mengakui, kehidupan yang dilaluinya sekarang ini pastinya agak berbeza berbanding ketika mula-mula berkahwin dahulu.

"Sebagai suami saya perlu bersedia dari awal, terutamanya mental dan fizikal. Pastinya bukan mudah untuk menjaga isteri yang baru kali pertama mengandung.

"Misalnya, kalau dia tidak dapat menjaga makan dan minum saya dengan baik, sudah tentu saya perlu mengalah kerana memahami keadaan yang harus dilaluinya sekarang. Sikap tolak ansur itu penting supaya isteri dapat menjalani kehidupan dengan baik bersama bayi yang sedang dikandung," jelasnya.

Berkenaan dengan jantina bayi pula, pelakon berkenaan menyatakan, dia dan isteri tidak kisah mengenainya kerana dikurniakan cahaya mata juga merupakan satu kurniaan yang tidak terhingga.

"Buat masa ini tumpuan saya pastinya lebih terarah kepada isteri tetapi ia langsung tidak mengganggu kerjaya lakonan saya. Lagipun saya perlu lebih berusaha keras memandangkan perlu membuat persediaan untuk menyambut kelahiran anak kami nanti," ujarnya.

Tiada halangan

Ketika sesi temu bual berlangsung, Linda Hashim yang turut berada di samping suaminya itu menyatakan, dia agak terkejut dan tidak menyangka hamil dalam tempoh yang cepat selepas mendirikan rumah tangga.

Mengakui tidak merasakan sebarang perubahan yang besar sebelum mengetahui dirinya disahkan hamil oleh doktor, Linda masih meneruskan aktiviti lakonan seperti biasa.

"Sudah tentu perasaan terkejut itu ada ketika menjalani pemeriksaan, namun pada masa yang sama tetap gembira dan bersyukur kerana ia sememangnya amat dinantikan kami berdua.

"Lagipun tiada sebarang tanda-tanda yang menunjukkan saya hamil, kecuali badan cepat letih. Bagaimanapun, saya anggap ia satu perkara yang normal dengan jadual aktiviti yang tidak menentu," jelasnya.

Meskipun kini usia kandungannya sudah menginjak 10 minggu, Linda menyatakan, dia masih lagi terus berlakon buat masa ini dan Beego sendiri tidak kisah untuknya berbuat demikian.

"Ada ahli keluarga yang menasihatkan saya supaya kurangkan aktiviti lakonan setelah didapati hamil. Namun begitu, selagi mampu saya mahu teruskan juga tetapi terpaksa lebih selektif supaya tidak membebankan diri.

"Perkara ini pun sudah dibincangkan dengan suami dan dia merestui serta memberi keizinan kepada saya untuk terus berlakon, asalkan saya pandai menjaga diri," jelasnya.

Ujar Linda, dia bersedia menerima sebarang tawaran lakonan tetapi drama atau telemovie yang tidak memerlukannya tampil dalam banyak babak atau penggambaran yang dilakukan di sekitar Kuala Lumpur sahaja.

Sember : Kosmo 05/10/2013

Khamis, 3 Oktober 2013

Ahmad Tamimi Siregar Berehat Selepas Rawatan Di IJN

AHMAD Tamimi Siregar Kamaruddin bersama isterinya, Datin Zulhaila Siregar.
KUALA LUMPUR 2 Okt. - Pelakon popular dan penerbit filem, Datuk Ahmad Tamimi Siregar Kamaruddin, kini berehat di rumahnya selepas menjalani rawatan dan kemudian dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) semalam.

Ketika dihubungi petang ini, Ahmad Tamimi yang dimasukkan ke IJN pada petang Isnin kerana komplikasi jantung akibat dua saluran darahnya tersumbat berkata, selain berehat beliau juga kini perlu menghabiskan ubat yang diberi oleh doktor.

"Saya juga perlu jaga makan dan tidur secukupnya. Walaupun terpaksa mengurangkan aktiviti di luar, namun saya masih melakukan kerja-kerja ringan di rumah," katanya.

Menurut Ahmad Tamimi, ketika di IJN, beliau menjalani rawatan angiogram dan angioplasty, iaitu bertujuan memulihkan saluran darah yang tersumbat tersebut.

"Alhamdulillah, prosesnya pemeriksaan dan rawatan berjaya. Saya bersyukur kerana darah yang tersumbat tidak begitu serius iaitu masih boleh diatasi menerusi proses angiogram dan angioplasty.

"Jika tidak, satu pembedahan mungkin terpaksa dilakukan. Saya berterima kasih kepada Profesor Datuk Dr. Mohamed Ezani Md. Taib dan Datuk Dr. Rosli Mohd. Ali yang merawat dan melakukan prosedur angiogram dan angioplasty ke atas saya di IJN," katanya.

Ahmad Tamimi juga berterima kasih kepada ahli keluarga dan para peminatnya di seluruh negara yang mendoakan kesihatan beliau ketika sepanjang dirawat di IJN.

Sember : Utusan Online



Selasa, 1 Oktober 2013

Harga Rokok Naik Cecah RM 12


KUALA LUMPUR – Pengeluar rokok, British American Tobacco Berhad (BAT Malaysia) dan JT International Berhad (JTI) mengumumkan kenaikan harga rokok keluaran syarikat masing-masing sebanyak RM1.50 hingga RM2 sekotak.

Ini menjadikan harga rokok seperti Dunhill, Kent, Winston, Salem dan Camel untuk 20 batang sekotak berharga RM10.50 hingga RM12 berkuat kuasa serta-merta bermula semalam.

Kedua-dua pengeluar rokok berjenama di Malaysia itu mendakwa, pihak mereka terpaksa menaikkan harga rokok keluaran masing-masing ekoran berdepan dengan peningkatan cukai tembakau sebanyak 14 peratus oleh industri selain saingan perdagangan rokok haram yang diseludup masuk ke negara ini.

Kenaikan harga rokok di negara ini dilakukan dalam tempoh empat bulan selepas BAT Malaysia dan JTI mengumumkan kenaikan rokok pada ke 3 Jun lalu.


Pukauan Rockestra

Ada yang berbisik-bisik tidak puas mendengar dendangan Ella serta menyaksikan liuk lintuk manjanya yang indah dengan persalinan ala victoria rekaan Rizman Ruzaini.
MUZIK rock dan orkestra bukan gabungan baru tetapi menyaksikan kolaborasi itu di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu.

Lalu, malam Sabtu minggu lalu memberikan kepuasan tersendiri buat kebanyakan peminat tegar muzik rock - secara terperinci - penggemar Ella, Man Kidal dan Mus apabila meledakkan dewan berprestij itu dengan 'gorengan' dan vokal mantap mereka.

Menjayakan konsert MPO Rocks sempena DFP SeniFest 2013, tiga nama besar dalam industri muzik tanah air itu dipertemukan untuk persembahan satu-malam-sahaja yang buat julung kali dipentaskan di dewan tersebut.

Sambutan memberansangkan (ya, semua tempat duduk penuh dan ada kalangan peminat yang agak berusia tidak kira lelaki mahupun wanita yang kelihatan menggoyangkan kepala saat mendengar lagu-lagu yang dipersembahkan) sekali gus memberi isyarat, 'kami mahu rock lagi di DFP'.

Mungkinkah selepas ini persembahan rock menjadi salah satu agenda pada kalendar musim akan datang DFP?

Masakan tidak, biarpun persembahan MPO Rocks dengan iringan Orkestra Filharmonik Malaysia sudah tamat dan lampu telah dihidupkan, masih ada kalangan peminat yang tidak mahu berganjak dari tempat duduk masing-masing.

Ada yang berbisik-bisik tidak puas mendengar dendangan Ella serta menyaksikan liuk lintuk manjanya yang indah dengan persalinan ala victoria rekaan Rizman Ruzaini.

Juga gaya cool Man Kidal memetik gitar serta keletah Mus yang bersahaja dengan kata-kata spontan mengusik audiens.

Nyata lagu Highway Star yang dipersembahkan untuk menutup tirai malam itu tidak mampu 'menyejukkan' audiens yang semakin larut dengan kehangatan muzik rock di DFP.

Masa seolah-olah berlalu begitu pantas biar lapan lagu penuh dan dua medley dipersembahkan masing-masing oleh Ella dan Mus selain tiga lagu petikan gitar Man Kidal.

Man Kidal membuka tirai persembahan dengan lagu Seruan dan The Godfather sebelum muncul kembali di pentas untuk mengiringi Ella dengan lagu Sentuhan Kidal.

Kemunculan Ella, si Ratu Rock yang ditunggu-tunggu memang menggamatkan suasana dewan. Auranya memukau dan saat vokal dilontarkan, audiens bersorak kegembiraan.

Dengan lagu-lagu Standing in the Eyes of the World, Layar Impian, Dua Insan Bercinta, Kesal dan medley Rindu, Sembilu dan Sepi Sekuntum Mawar Merah, gaya manja dan keletah Ella mencuit hati.

Mus juga menguasai pentas dengan seleksi lagu-lagu Pelayaran, Srikandi Cintaku, Hakikat Perjuangan dan Stairway To Heaven selain medley Sinar dan Sendiri.

Maut selepas Jamu Selera Kenduri


Alor Setar: “Arwah mengadu sakit perut sebaik pulang dari majlis kenduri kahwin sepupunya dan kami bercadang membawanya menerima rawatan, namun tengah hari tadi (semalam), dia ditemui dalam keadaan tertiarap tidak sedarkan diri,” kata Hairul Azhar Harun, 33, sepupu kepada Nurshazana Mohd Rashid, 24, yang meninggal dunia dipercayai keracunan makanan.

Hairul berkata, sepupunya itu mengadu demikian sejurus pulang menghadiri majlis perkahwinan seorang lagi sepupu mereka di Kampung Huma, Tanjung Dawai, Sungai Petani, Sabtu lalu.

Menurutnya, mangsa ditemui tidak sedarkan diri di dalam biliknya kira-kira jam 12.45 tengah hari semalam sebelum dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Bagaimanapun, setiba di HSAH, Nurshazana dari Kampung Tempoyak, Bedong, di sini, didapati sudah meninggal dunia di rumahnya dan mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini untuk bedah siasat.

Selain Nurshazana, dua lagi tetamu yang hadir pada majlis itu turut dilaporkan meninggal dunia selepas mengadu sakit perut.

Saiful Apek Di Bebaskan

SAIFUL APEK kelihatan ceria selepas dibebaskan oleh mahkamah atas tuduhan kes dadah di Petaling Jaya, Selangor semalam.
PETALING JAYA - Pelakon dan pelawak terkenal, Saiful Apek dilepas dan dibebaskan buat kali kedua oleh Mahkamah Majistret di sini semalam daripada pertuduhan memasukkan dadah kanabis dalam badan tiga tahun lalu.

Saiful Apek atau nama sebenarnya Mohd. Saifulazam Mohamed Yusoff, 44, dan tiga pekerjanya sebelum ini telah dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah sama pada akhir kes pendakwaan pada 25 Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 22 Mei lalu mengarahkan mereka berempat membela diri daripada pertuduhan tersebut selepas membenarkan rayuan pendakwaan.