Selasa, 1 Oktober 2013

Pukauan Rockestra

Ada yang berbisik-bisik tidak puas mendengar dendangan Ella serta menyaksikan liuk lintuk manjanya yang indah dengan persalinan ala victoria rekaan Rizman Ruzaini.
MUZIK rock dan orkestra bukan gabungan baru tetapi menyaksikan kolaborasi itu di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu.

Lalu, malam Sabtu minggu lalu memberikan kepuasan tersendiri buat kebanyakan peminat tegar muzik rock - secara terperinci - penggemar Ella, Man Kidal dan Mus apabila meledakkan dewan berprestij itu dengan 'gorengan' dan vokal mantap mereka.

Menjayakan konsert MPO Rocks sempena DFP SeniFest 2013, tiga nama besar dalam industri muzik tanah air itu dipertemukan untuk persembahan satu-malam-sahaja yang buat julung kali dipentaskan di dewan tersebut.

Sambutan memberansangkan (ya, semua tempat duduk penuh dan ada kalangan peminat yang agak berusia tidak kira lelaki mahupun wanita yang kelihatan menggoyangkan kepala saat mendengar lagu-lagu yang dipersembahkan) sekali gus memberi isyarat, 'kami mahu rock lagi di DFP'.

Mungkinkah selepas ini persembahan rock menjadi salah satu agenda pada kalendar musim akan datang DFP?

Masakan tidak, biarpun persembahan MPO Rocks dengan iringan Orkestra Filharmonik Malaysia sudah tamat dan lampu telah dihidupkan, masih ada kalangan peminat yang tidak mahu berganjak dari tempat duduk masing-masing.

Ada yang berbisik-bisik tidak puas mendengar dendangan Ella serta menyaksikan liuk lintuk manjanya yang indah dengan persalinan ala victoria rekaan Rizman Ruzaini.

Juga gaya cool Man Kidal memetik gitar serta keletah Mus yang bersahaja dengan kata-kata spontan mengusik audiens.

Nyata lagu Highway Star yang dipersembahkan untuk menutup tirai malam itu tidak mampu 'menyejukkan' audiens yang semakin larut dengan kehangatan muzik rock di DFP.

Masa seolah-olah berlalu begitu pantas biar lapan lagu penuh dan dua medley dipersembahkan masing-masing oleh Ella dan Mus selain tiga lagu petikan gitar Man Kidal.

Man Kidal membuka tirai persembahan dengan lagu Seruan dan The Godfather sebelum muncul kembali di pentas untuk mengiringi Ella dengan lagu Sentuhan Kidal.

Kemunculan Ella, si Ratu Rock yang ditunggu-tunggu memang menggamatkan suasana dewan. Auranya memukau dan saat vokal dilontarkan, audiens bersorak kegembiraan.

Dengan lagu-lagu Standing in the Eyes of the World, Layar Impian, Dua Insan Bercinta, Kesal dan medley Rindu, Sembilu dan Sepi Sekuntum Mawar Merah, gaya manja dan keletah Ella mencuit hati.

Mus juga menguasai pentas dengan seleksi lagu-lagu Pelayaran, Srikandi Cintaku, Hakikat Perjuangan dan Stairway To Heaven selain medley Sinar dan Sendiri.

0 comments:

Catat Ulasan