Sabtu, 5 Oktober 2013
Beego Debar Menanti Anak Sulung
Posted on 1:57 PG by Unknown
TIDAK pernah merancang sama ada memperoleh cahaya mata dalam tempoh yang cepat atau lambat, rezeki telah memihak kepada pasangan romantik, pelakon Beego dan Linda Hashim.
Setelah berumah tangga pada bulan Jun lalu, akhirnya pelakon yang baru sahaja tampil dalam filem Tanda Putera itu disahkan mengandung tujuh minggu.
Yang nyata, jelas terpancar riak wajah gembira kedua-dua pelakon berkenaan sewaktu ditemui dalam sebuah majlis baru-baru ini terutama sekali Beego memandangkan ini merupakan perkahwinan kali kedua buat dirinya.
"Apabila doktor mengesahkan yang Linda hamil, sudah tentu saya merupakan individu yang paling gembira kerana bakal bergelar bapa.
"Ia merupakan perkara yang tidak dijangka sama sekali, meskipun kami tidak pernah merancang dan berserah kepada Allah untuk mendapatkan cahaya mata," ujar pemilik nama sebenar Md. Aszerul Nizam Abdullah itu.
Meneruskan perbualan mengenai detik-detik awal sebelum mengetahui isteri tersayang hamil, Beego memberitahu, dia selalu berasa kurang sihat dan tidak sedap badan.
Beranggapan bahawa keadaan yang dilaluinya itu sebagai perkara biasa akibat keletihan kerana sibuk dengan aktiviti lakonan, dia mengambil keputusan untuk berehat sahaja tanpa memikirkan bahawa ia merupakan tanda awal yang dia bakal bergelar seorang bapa.
"Beberapa hari sebelum isteri membuat pemeriksaan di hospital, saya lihat keadaan isteri pula yang selalu letih. Selain itu, dia juga sudah mula menunjukkan simptom seperti wanita mengandung.
"Setelah pemeriksaan dijalankan, Linda didapati hamil oleh doktor dan akibat terlalu gembira saya terus melompat kerana teruja dengan berita gembira yang disampaikan kepada kami," ujarnya.
Menceritakan lebih lanjut tentang kehidupannya setelah isterinya hamil, pelakon itu menyatakan, dia agak bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang alahan seperti kebanyakan lelaki lain.
"Pada peringkat awal kehamilan pastinya merupakan cabaran yang paling besar buat pasangan suami isteri.
Bagaimanapun, saya akan lakukan yang terbaik untuk isteri agar kandungannya berada dalam keadaan sihat.
"Meskipun usia kehamilan isteri saya masih lagi di peringkat awal, namun perasaan berdebar itu tetap ada menantikan kehadiran cahaya mata sulung ini. Ia merupakan satu anugerah yang tidak terhingga dan merupakan pelengkap kepada kehidupan kami," luahnya.
Mengalah
Biarpun pernah mendirikan rumah tangga sebelum ini tetapi ia merupakan pengalaman baharu buat Beego untuk menjalani kehidupan sebagai seorang suami yang bakal bergelar bapa.
Beego mengakui, kehidupan yang dilaluinya sekarang ini pastinya agak berbeza berbanding ketika mula-mula berkahwin dahulu.
"Sebagai suami saya perlu bersedia dari awal, terutamanya mental dan fizikal. Pastinya bukan mudah untuk menjaga isteri yang baru kali pertama mengandung.
"Misalnya, kalau dia tidak dapat menjaga makan dan minum saya dengan baik, sudah tentu saya perlu mengalah kerana memahami keadaan yang harus dilaluinya sekarang. Sikap tolak ansur itu penting supaya isteri dapat menjalani kehidupan dengan baik bersama bayi yang sedang dikandung," jelasnya.
Berkenaan dengan jantina bayi pula, pelakon berkenaan menyatakan, dia dan isteri tidak kisah mengenainya kerana dikurniakan cahaya mata juga merupakan satu kurniaan yang tidak terhingga.
"Buat masa ini tumpuan saya pastinya lebih terarah kepada isteri tetapi ia langsung tidak mengganggu kerjaya lakonan saya. Lagipun saya perlu lebih berusaha keras memandangkan perlu membuat persediaan untuk menyambut kelahiran anak kami nanti," ujarnya.
Tiada halangan
Ketika sesi temu bual berlangsung, Linda Hashim yang turut berada di samping suaminya itu menyatakan, dia agak terkejut dan tidak menyangka hamil dalam tempoh yang cepat selepas mendirikan rumah tangga.
Mengakui tidak merasakan sebarang perubahan yang besar sebelum mengetahui dirinya disahkan hamil oleh doktor, Linda masih meneruskan aktiviti lakonan seperti biasa.
"Sudah tentu perasaan terkejut itu ada ketika menjalani pemeriksaan, namun pada masa yang sama tetap gembira dan bersyukur kerana ia sememangnya amat dinantikan kami berdua.
"Lagipun tiada sebarang tanda-tanda yang menunjukkan saya hamil, kecuali badan cepat letih. Bagaimanapun, saya anggap ia satu perkara yang normal dengan jadual aktiviti yang tidak menentu," jelasnya.
Meskipun kini usia kandungannya sudah menginjak 10 minggu, Linda menyatakan, dia masih lagi terus berlakon buat masa ini dan Beego sendiri tidak kisah untuknya berbuat demikian.
"Ada ahli keluarga yang menasihatkan saya supaya kurangkan aktiviti lakonan setelah didapati hamil. Namun begitu, selagi mampu saya mahu teruskan juga tetapi terpaksa lebih selektif supaya tidak membebankan diri.
"Perkara ini pun sudah dibincangkan dengan suami dan dia merestui serta memberi keizinan kepada saya untuk terus berlakon, asalkan saya pandai menjaga diri," jelasnya.
Ujar Linda, dia bersedia menerima sebarang tawaran lakonan tetapi drama atau telemovie yang tidak memerlukannya tampil dalam banyak babak atau penggambaran yang dilakukan di sekitar Kuala Lumpur sahaja.
Sember : Kosmo 05/10/2013
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan